Sunday 9 August 2015

Wajib buat carian tanah untuk tahu pemilikan hartanah yang dibeli

Nama-nama dalam kajian kes ini adalah rekaan semata-mata.

Tuntutan 1: Kewajipan Berjaga-Jaga

Pada tahun 1996, Andrew (Pembeli) membeli sebidang tanah di Selangor daripada Gilbert (Penjual) dengan harga RM300,00.00. Gilbert memperkenalkan Andrew kepada Rick & Co; dan Andrew melantik Rick & Co unuk menyediakan Perjanjian jual Beli (PJB) @ SNP.
Beberapa tahun kemudian kerajaan negeri mengambil tanah tersebut bagi tujuan pembangunan. Pada ketika inilah Andrew mendapati bahawa dia bukanlah pemilik keseluruhan tanah tersebut, sebaliknya hanya memiliki separuh daripada bahagian tanah yang tidak dibahagikan itu. Andrew mengemukakan saman terhadap kedua-dua Gilbert dan Rick & Co.

Tuntutan Dan Keputusan Mahkamah?

Saman yang dikemukakan Andrew adalah untuk mendapatkan kembali semua wang yang telah dibayar untuk pembelian tanah itu. Andrew berhujah bahawa PJB yang ditandatangani bersama-sama Gilbert adalah tidak sah menurut S22 Akta Kontrak 1950 (''Akta tersebut''). Hujahnya lagi, selaras dengan S66 Akta tersebut, keseluruhan harga belian harus dibayar balik kepadanya. Dengan kata lain, Andrew mahu PJB itu diistiharkan batal dan tidak sah kerana kerajaan negeri hanya memberi pampasan sebanyak RM215,000.00 bagi separuh daripada tanah yang tidak dibahagikan itu.
Andrew mendakwa Rick & Co telah gagal untuk menasihatinya mengenai status tanah itu dan hakikat bahawa dia hanya pemilik separuh daripada bahagian tanah yang tidak dibahagikan; dia juga mendakwa firma tidak melakukan carian tanah yang sewajarnya sehingga gagal untuk melindungi kepentingannya.

Ironiknya, Rick & Co juga telah bertindak bagi pihak Gilbert semasa dia membeli tanah tersebut dari pemilik sebelum ini.
Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan restitusi oleh Andrew tidak dapat dipertahankan kerana tidak ada kegagalan balasan secara mutlak. Andrew adalah pemilik berdaftar sebahagian tanah itu, walaupun tanah itu adalah tanah yang tidak dibahagikan, dan dia telah menerima pampasan daripada kerajaan negeri bagi bahagian tanah yang dimilikinya. Walau bagaimanapun, Gilbert telah diarahkan oleh mahkamah untuk membayar balik separuh daripada keseluruhan harga belian tanah itu kepada Andrew kerana Andrew berjaya membuktikan kepada Mahkamah bahawa dia telah membeli keseluruhan tanah itu tetapi hanya memiliki separuh daripada tanah tersebut. Mahkamah turut memerintahkan Rick & Co untuk menanggung rugi Gilbert setakat mana Gilbert harus membayar Andrew.

Terungkai Cerita
Semasa keterangan di mahkamah, didapati Rick & Co telah bergantung kepada hanya satu carian tanah sahaja, iaitu carian yang dilakukan oleh mereka semasa bertindak bagi pihak Gilbert beberapa tahun yang lalu semasa dia membeli tanah itu. Beberapa tahun kemudian semasa Gilbert menjual tanah kepada Andrew, Rick & Co bertindak pula bagi pihak Andrew sebagai pembeli, dan mereka TIDAK menjalankan carian tanah yang baru.

Kesimpulan : Sebelum memutuskan untuk membeli sebarang hartanah, buatlah carian persendirian hartanah di pejabat tanah yang berkenaan!

Sumber : The Jurisk! Majlis Peguam




No comments:

Post a Comment